Wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Mohd. Azrinsyah Abd. Aziz berkata, melalui kutipan data yang dilakukan pihaknya sejak Jun lalu, sejumlah 6,516 graduan pendidikan memberi respons dan mendakwa masih belum ditempatkan sebagai guru walaupun ada antara mereka sudah lima tahun menamatkan pelajaran.
“Jumlah ini sema­kin meningkat saban tahun kerana pengambilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang berterusan di samping terdapat 11 universiti yang turut menawarkan kursus pendidikan.

“Lebih parah lagi, ketika hanya kira-kira 20 peratus calon temu duga pada Oktober 2017 diserap sebagai guru, terdapat kira-kira 2,600 graduan baharu menamatkan pengajian tahun ini, menjadikan jumlah graduan yang bersaing untuk diserap masuk sebagai guru semakin ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberitahu masalah kekurangan guru di bandar besar semakin serius terutamanya melibatkan negeri Johor dan Selangor.

Maszlee turut berkata, beberapa inisiatif seperti menaikkan elaun kos sara hidup dan meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru sedang dalam peringkat kajian oleh Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Azrinsyah turut berkata, menurut laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), seramai 3,392 graduan menghadiri temu duga pada April lalu dan mereka kini sedang dalam keadaan tertanya-tanya kerana keputusan temu duga tersebut ditangguhkan sehingga hari ini.

Katanya, mengikut amalan terdahulu yang tercatat dalam piagam pelanggan SPP, keputusan akan diumumkan empat minggu selepas tarikh akhir temu duga.

“Namun disebabkan pertukaran kerajaan, mungkin berlaku sedikit kekeliruan sehingga pengumuman keputusan tersebut ditangguhkan,” katanya.