KUALA LUMPUR 23 Julai - Kira-kira 6,500 graduan pendidikan dari universiti awam seluruh seluruh Malaysia masih belum menerima penempatan sebagai guru lantaran dasar pasaran terbuka yang diamalkan Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun dahulu.
Wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam
(GGPUA), Mohd. Azrinsyah Abd. Aziz berkata, melalui kutipan data yang
dilakukan pihaknya sejak Jun lalu, sejumlah 6,516 graduan pendidikan
memberi respons dan mendakwa masih belum ditempatkan sebagai guru
walaupun ada antara mereka sudah lima tahun menamatkan pelajaran.
“Jumlah ini semakin meningkat saban tahun kerana
pengambilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang
berterusan di samping terdapat 11 universiti yang turut menawarkan
kursus pendidikan.
“Lebih parah lagi, ketika hanya kira-kira 20
peratus calon temu duga pada Oktober 2017 diserap sebagai guru, terdapat
kira-kira 2,600 graduan baharu menamatkan pengajian tahun ini,
menjadikan jumlah graduan yang bersaing untuk diserap masuk sebagai guru
semakin ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik
memberitahu masalah kekurangan guru di bandar besar semakin serius
terutamanya melibatkan negeri Johor dan Selangor.
Maszlee turut berkata, beberapa inisiatif seperti
menaikkan elaun kos sara hidup dan meramaikan lagi anak tempatan
menjadi guru sedang dalam peringkat kajian oleh Kementerian Pendidikan.
Mengulas lanjut, Azrinsyah turut berkata, menurut
laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), seramai 3,392
graduan menghadiri temu duga pada April lalu dan mereka kini sedang
dalam keadaan tertanya-tanya kerana keputusan temu duga tersebut
ditangguhkan sehingga hari ini.
Katanya, mengikut amalan terdahulu yang tercatat
dalam piagam pelanggan SPP, keputusan akan diumumkan empat minggu
selepas tarikh akhir temu duga.
“Namun disebabkan pertukaran kerajaan, mungkin
berlaku sedikit kekeliruan sehingga pengumuman keputusan tersebut
ditangguhkan,” katanya.
Post a Comment